JENIS PENGAJIAN : SARJANA PENDIDIKAN
BIDANG : SUMBER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
TUJUAN
- Memperkenalkan pelajar kepada perkembangan sumber pendidikan terkini
- Mendedahkan pelajar kepada kaedah penyelidikan terkini dalam bidang sumber dan teknologi maklumat
- Memahirkan pelajar tentang pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
- Memberi pekuang kepada pelajar memahami sesuatu sistem teknologi maklumat yang sesuai
GE6433 : SEMINAR ALIRAN TERKINI DALAM PENGAJARAN SUMBER & TEKNOLOGI MAKLUMAT
- Kursus ini memberi peluang kepada pelajar mengkaji perkembangan pelbagai sumber dan sistem maklumat serta teknologi dalam pendidikan hari ini. Topik-topik perbincangan adalah berkaitan pembangunan, perkembangan dan masalah-masalah pengajaran sumber dan teknologi maklumat dalam dan luar negeri serta pembangunan dan trend teknologi terkini dalam pendidikan. Hasil perbincangan dan kajian dibentangkan dalam bentuk seminar dan dikendalikan secara pembelajaran kooperatif.
GE6543 : TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENDIDIKAN
- Kursus ini memberi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada pelajar tentang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pengurusan pendidikan. Selain itu kursus ini dirancang dan dilaksanakan agar dapat membantu pelajar menguasai kemahiran perpustakaan dan kemahiran maklumat yang merupakan komponen asas kepada budaya belajar sepanjang hayat.
GE6583 : KAJIAN BEBAS
- Pelajar boleh mengambil kursus ini hanya setelah selesai menjalani semester pertama pengajiannya dan setelah mendapat nasihat serta persetujuan dari penyelia. Fokus utama kursus ini adalah bagi melengkapkan pengetahuan atau meningkatkan tahap kesediaan pelajar ke arah menyediakan satu cadangan tesis yang terperinci, atau menyelesaikan mana-mana aspek penyediaan tesis. Jenis tugasan akan dikenal pasti dan ditentukan bersama oleh pelajar dan penyelianya.
GE6673 : KERTAS PROJEK 2
- Kursus ini bertujuan untuk membantu pelajar melakukan penulisan bab 4 dan 5 laporan penyelidikan yang dijalankan. Kursus ini merupakan kesinambungan kursus Kertas Projek I yang merupakan pra-syarat kepada kursus ini. Kursus ini berbentuk seminar dan pelajar akan berbincang secara berkumpulan bersama dengan pensyarah dalam bidang masing-masing. Perbincangan akan ditumpukan kepada penulisan bahagian-bahagian berikut: Dapatan kajian, Perbincangan dan Kesimpulan, Implikasi dan Sumbangan kajian serta Cadangan Kajian Lanjutan.Di akhir kursus pelajar akan diminta membentangkan draf penulisan tersebut dalam kumpulan masing-masing. Pelajar diminta menghantar laporan terakhir kepada penyelaras seminar. Penilaian kursus ini adalah berdasarkan kepada laporan terakhir yang dihantar.