JENIS PENGAJIAN : SARJANA PENDIDIKAN
BIDANG : SUMBER DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
TUJUAN
- Memperkenalkan pelajar kepada perkembangan sumber pendidikan terkini
- Mendedahkan pelajar kepada kaedah penyelidikan terkini dalam bidang sumber dan teknologi maklumat
- Memahirkan pelajar tentang pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
- Memberi pekuang kepada pelajar memahami sesuatu sistem teknologi maklumat yang sesuai
GB6022 : PENULISAN AKADEMIK 2
- Kursus ini adalah lanjutan daripada kursus Penulisan Akademik I dan bertujuan untuk membantu pelajar mengorganisasikan dan meningkatkan penulisan akademik bagi setiap bahagian dalam penulisan tesis daripada kajian-kajian yang dijalankan melalui kaedah kuantitatif dan kualitatif. Aspek-aspek penulisan yang diutamakan termasuklah penulisan abstrak, bahagian pengenalan, pernyataan masalah, hipotesis, tinjauan literatur, dapatan kajian serta perbincangan dapatan kajian. Pelajar dikehendaki mempersembahkan satu rumusan penghujahan dan kritikan yang bernas dalam semua aspek penulisan tesis. Selain itu, pelajar-pelajar juga didedahkan kepada kaedah penulisan buku, prosiding dan artikel dalam jurnal
GE6453 : PENGELUARAN DAN PENGGUNAAN MEDIA PENGAJARAN (*** koleksi tugasan GE6553)
- Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan yang luas kepada pelajar tentang beberapa jenis dan aspek pengeluaran dan penggunaan media pengajaran. Pelajar akan berpeluang mempelajari cara-cara mereka bentuk, mengeluarkan dan menggunakan media seperti transparensi, pita video, pita audio, filem slaid, penulisan dan penerbitan radio dan T.V., komputer dan lain-lain media yang boleh digunakan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan firma-firma. Teknik dan kemahiran menggunakan perkakasan juga akan dititikberatkan. Tumpuan juga akan diberikan kepada penulisan skrip, penyediaan fotografi, grafik dan percetakan ofset sesuai dengan bentuk media yang dipilih
GE6553 : REKABENTUK DAN PENGGUNAAN KEMUDAHAN MAKLUMAT
- Kursus ini membincangkan konsep dan theori yang mendasari rekabentuk, perlaksanaan dan penilaian bagi program dan aktiviti perpustakaan atau pusat sumber dalam setting pendidikan. Kursus ini bertujuan membolehkan pelajar membina pengetahuan dan kemahiran serta menimba pengalaman dalam proses perancangan, perlaksanaan dan penilaian bagi satu program atau aktiviti di perpustakaan atau pusat sumber dengan menggunakan kaedah penyelidikan kajian tindakan. Kursus ini juga mendedahkan pelajar kepada format penulisan laporan akademik bagi kajian tindakan yang mereka jalankan.
GE6673 : KERTAS PROJEK 1
- Kursus ini bertujuan untuk membantu pelajar melakukan penulisan Bab 1, 2 dan 3serta laporan penyelidikan yang bakal dijalankan. Kursus ini berbentuk seminar dan pelajar akan berbincang secara berkumpulan bersama dengan pensyarah dalam bidang masing-masing. Perbincangan akan merangkumi bahagian-bahagian berikut: Pengenalan, Latar Belakang Kajian, Pernyataan Masalah, Objektif, Persoalan dan Hipotesis Kajian, Kerangka Konsep, Definisi Konsep, Limitasi Konsep, Ulasan Kepustakaan dan Metod Penyelidikan. Pelajar akan diminta berbincang dengan penyelia akademik tentang tajuk tersebut ke seminar. Di akhir kursus pelajar akan diminta membentangkan draf penulisan tersebut dalam kumpulan masing-masing. Pelajar seterusnya akan diminta menghantar laporan terakhir kepada penyelaras seminar. Penilaian kursus ini adalah berdasarkan kepada laporan terakhir yang dihantar.