Pada amnya, log web atau blog (kata lakur daripada perkataan Inggerisnya
‘weblog’) merupakan diari peribadi, ruang kolaboratif, saluran berita terkini
dan koleksi pautan kepada memo-memo pandangan peribadi anda untuk
tatapan umum. Pendek kata, blog anda boleh menjadi apa-apa sahaja yang
anda inginkan. Terdapat pelbagai bentuk dan jenis blog, dan tiada peraturan
yang tetap mengenainya. Ringkasnya, blog ialah satu laman web untuk anda
membuat catatan secara berterusan. Perkara baharu dipaparkan pada
bahagian paling atas agar pelawat boleh membaca catatan terkini. Kemudian
mereka boleh memberi komen terhadap entri anda, membuat pautan
kepadanya atau menghantar e-mel kepada anda. Dalam bidang pendidikan,
blog digunakan bagi memenuhi pelbagai bentuk keperluan komunikasi untuk
membantu amalan e-pembelajaran (Susana & Sergio 2007).
KELEBIHAN WEB LOG ATAU BLOG
Menurut Susana dan Sergio (2007), blog mempunyai beberapa kelebihan:
1. Ia mudah untuk dibina dan diselenggara berbanding dengan teknologi
yang lain.
2. Lebih mudah untuk memaparkan semua jenis sumber maklumat (teks,
imej, video, dsb.) ke Internet menggunakan blog jika dibandingkan
dengan penerbitan web tradisional.
3. Ia membolehkan penerbitan segera dengan hanya satu klik, mudah
untuk dibina dan diselenggara berbanding dengan laman web biasa
yang memerlukan banyak masa, usaha, dan pengetahuan reka bentuk
laman web (HTML, CSS, JavaScript).
4. Ia boleh dikemas kini dengan mudah dari mana-mana sahaja tanpa
memerlukan sambungan FTP, perisian pengarangan web dan
sebagainya.
5. Ia berupaya merangkumi pembaca yang lebih ramai tanpa kehilangan
kualiti maklumat dan membenarkan pelbagai tahap perincian
maklumat. Ia membolehkan keseimbangan antara jangkauan dengan
kekayaan maklumat.
6. Maklumat yang disiarkan di blog boleh didapatkan secara 24/7(pada
bila-bila masa dan di mana-mana jua).
7. Tiada perisian blog tertentu yang diperlukan untuk membina blog.
Sesetengah penulis blog (blogger) menggunakan HTML ringkas untuk
membina blog mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan perisian
blog membolehkan seseorang itu membina dan menyelenggara blog
tanpa memerlukan pengetahuan HTML. Pengajar tidak perlu meminta
log pembelajaran pelajar mereka dari semasa ke semasa.
8. Pelbagai teknologi lain boleh digunakan bersama blog. Contohnya,
penggunaan Wiki yang membolehkan penulisan secara berkumpulan
dan perkongsian pengetahuan (seperti pembinaan glosari).